JOHOR BAHRU – Bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight, Khabib Nurmagomedov bakal membuka gimnasium latihan beliau di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara tersebut telah dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Khabib dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).
“Syukur alhamdulillah, saya dan delegasi kerajaan negeri Johor berkesempatan mengadakan perjumpaan bersama Khabib ‘The Eagle Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight di Abu Dhabi.
“Semasa sesi mengadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dengan Khabib Nurmagomedov pada awal Oktober lalu, kami telah berbincang mengenai program pembangunan belia dan cadangan untuk membuka gimnasium latihan di negeri Johor.
“Menerusi perjumpaan hari ini, MoU berhubung perkara itu telah ditandatangani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berharap, menerusi kerjasama itu Johor akan terus maju dalam pembangunan umah serta dapat membuka lebih banyak fasiliti sukan bertaraf dunia.
Jelasnya, usaha itu akan memberi manfaat kepada Bangsa Johor terutamanya orang muda dalam dunia sukan.
Mengenai lawatan itu, Onn Hafiz mengakui amat kagum apabila melihat fasiliti bertaraf dunia yang ada di The Eagle, MMA atau Khabib Gym yang terletak di Abu Dhabi.
“Saya amat kagum melihat sendiri fasiliti bertaraf dunia yang ada di sini, termasuk MMA octagon serta ruang khas untuk seni mempertahankan diri seperti Jiu-Jitsu, Muay Thai, boxing, dan wrestling.
“Selain itu, gimnasium ini juga dilengkapi dengan peralatan lengkap untuk latihan kardio dan angkat berat. Fasiliti pemulihan juga turut disediakan, termasuk sauna dan kolam renang yang memberi peluang kepada pengguna mencapai prestasi terbaik dalam menjalankan latihan,” ujarnya.- MalaysiaGazette