KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi-agensi di bawahnya menawarkan moratorium penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi tempoh tiga hingga enam bulan khusus buat usahawan yang terjejas dengan bencana banjir di seluruh negara.
KUSKOP dalam satu kenyataan hari ini berkata, moratorium itu bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa terutama usahawan-usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang tidak dapat mencari rezeki akibat bencana berkenaan.
Menurutnya, KUSKOP dimaklumkan terdapat usahawan-usahawan dan koperasi yang mengalami kerugian akibat kerosakan premis, peralatan dan stok barangan perniagaan.
“Buat masa ini, misi bantuan awal KUSKOP melalui TEKUN telah digerakkan di beberapa lokasi pusat pemindahan sementara (PPS).
“TEKUN telah melaksanakan aktiviti penyediaan makanan kepada 1,500 orang mangsa-mangsa banjir iaitu di tiga buah PPS di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pelaksanaan moratorium kepada usahawan yang menjadi mangsa banjir tersebut adalah sejajar dengan prinsip MADANI.
Jelasnya, dalam tempoh moratorium, mereka mempunyai masa untuk memberi fokus kepada usaha-usaha pemulihan tanpa memikirkan tekanan kewangan daripada pinjaman yang perlu dibayar.
“Usahawan-usahawan yang terjejas boleh menghubungi pejabat cawangan agensi-agensi KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan inisiatif-inisiatif banjir yang ditawarkan,” katanya.
Tambahnya, di Kedah, penduduk kampung yang terputus bekalan air bersih turut diberi bantuan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Koperasi Melayu Pulau Pinang Berhad yang telah melaksanakan bantuan khidmat masyarakat.
Ujarnya, bekalan air bersih dari telaga boring milik SKM dihantar kepada penduduk sekitar Jeneri, Kedah bertujuan meringankan beban penduduk dengan membekalkan air bersih setelah lebih tiga hari penduduk kampung terputus bekalan air.
“KUSKOP telah merangka pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara besar-besaran selepas banjir pulih dengan pelbagai inisiatif bantuan dan program pembersihan pasca banjir yang akan dilaksanakan oleh Skuad Ihsan MADANI KUSKOP,” katanya. – MalaysiaGazette