MELAKA – Hampir 1,000 lagi unit teres Rumah Mampu Milik (RMM) ditawarkan kepada rakyat berpendapatan rendah di Melaka sekali gus memenuhi hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sasaran satu keluarga satu rumah.
Ketua Menteri, Datuk S eri Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu diteruskan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menerusi perjanjian pembangunan RMM yang dimeterai bersama TT Gratia Land Development Sdn Bhd dan dijangka siap pada 2027.
Menurutnya melalui projek itu, LPM bersetuju melantik TT Gratia
sebagai rakan pemaju bagi melaksanakan RMM di tapak berkeluasan 39.27 hektar di Machap, Alor Gajah merangkumi 998 unit kediaman teres dan kedai dengan harga jualan antara RM70,000 hingga RM250,000 sebuah.
“Bagi memenuhi hasrat kerajaan negeri melihat satu keluarga satu rumah di Melaka, kita tawarkan projek ini jadi rebutlah peluang memiliki RMM di bawah nilai RM200,000.
“Melaka adalah negeri yang memiliki harga pasaran rumah terendah di Malaysia,”katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan RMM antara LPM dan TT Gratia Land Development di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Eksekutif LPM, Datuk TPr. Murad Husin dan Pengarah Urusan TT Gratia Land Development, Datuk Dr. Tan Wei Joon.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata antara komponen pembangunan projek ini adalah 100 unit Rumah Kos Rendah (RKR) dengan harga jualan RM70,000 seunit, 100 unit Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) berharga RM120,000 seunit bersaiz 20 x 65 kaki.
“Ini diikuti 778 unit RMM jenis A dengan harga jualan RM180,000 seunit (20×70) dan 20 unit kedai pada harga jualan RM250,000 seunit.
“Saya yakin, projek RMM di kawasan Machap ni akan memberi suntikan sosio ekonomi kepada kawasan ini sekali gus merancakkan lagi pembangunan RMM di Melaka,” katanya.
Sementara itu Wei Joon berkata, ini adalah kali pertama pihaknya bekerjsama dengan LPM untuk membina RMM di Melaka.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana membenarkan kami menyokong inisiatif kerajaan untuk mencapai sasaran satu keluarga satu rumah di Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette