KUALA LUMPUR – Pengumuman oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir bahawa Malaysia tidak akan berunding semula mengenai kadar air mentah ke Singapura buat masa ini amat mengecewakan.
Pengarah Komunikasi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Na’im Brundage mendakwa kenyataan Akmal membuktikan kerajaan memilih untuk mengabaikan kepentingan negara.
“Alasan beliau bahawa kos merawat sendiri air mentah adalah lebih tinggi berbanding membeli terus dari Singapura mungkin benar tetapi ia tidak mencerminkan keseluruhan konteks perjanjian yang berat sebelah ini.
“Memang benar, kos rawatan RM1.80 untuk setiap meter padu adalah jauh lebih mahal daripada harga air terawat yang kini dibeli pada kadar 50 sen untuk setiap 1, 000 gelen.
“Anggaran kos bagi mendapatkan air terawat sebanyak 16 juta gelen sehari (MGD) ini akan meningkat daripada RM2.9 juta setahun kepada RM39.7 juta setahun, satu kenaikan sebanyak RM36.8 juta,” katanya hari ini.
Na’im mengulas kenyataan Akmal di Dewan Rakyat semalam yang kerajaan tidak mempunyai keperluan untuk rundingan semula bagi menyemak kadar air mentah ke Singapura buat masa ini.
Menurut beliau, ia diputuskan menerusi perbincangan pada Oktober lalu antara pihaknya dengan Kerajaan Negeri Johor.
Dalam pada itu, Na’im berkata, sekiranya kenaikan itu disyaratkan maka kerajaan boleh meraih pendapatan tambahan sebanyak RM54.7 juta setahun, menghasilkan keuntungan sebanyak RM14.9 juta selepas mengambil kira peningkatan kos merawat air sendiri.
“Persoalan penting untuk YB Timbalan Menteri ialah mengapa Malaysia, sebuah negara berpendapatan pertengahan, harus terus memberikan subsidi sebanyak RM52 juta setahun kepada Singapura, sebuah negara maju?
“Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak meneruskan rundingan bersama Singapura bagi mendapatkan perjanjian yang lebih adil hanya akan merugikan rakyat khususnya di negeri Johor yang sepatutnya dapat menikmati manfaat daripada hasil sumber alam negeri tersebut,” kata Na’im lagi.
Untuk rekod, perjanjian yang akan berakhir pada 2061 itu memberikan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen manakala Malaysia pula membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen. – MalaysiaGazette