KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan pemandu kereta Honda Civic yang tular mengekori rapat ambulans di Kilometer (KM) 15, Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan ujian saringan air kencing dilakukan ke atas suspek berusia 28 tahun.
Terdahulu, beliau memaklumkan suspek telah ditahan sekitar jam 11 pagi semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
“Suspek dikesan positif benzo dan semasa kejadian, lelaki itu telah meminjam kenderaan rakannya.
“Berikutan itu, susupek akan dirujuk di Bahagian Narkotik IPD Shah Alam bagi siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Mohd Iqbal memaklumkan, pihaknya berjaya mengesan seorang penunggang motosikal turut melakukan aksi sama.
“Lelaki berusia 38 tahun itu telah ditahan sekitar jam 11 pagi tadi di pekarangan IPD Shah Alam dan saringan ke atasnya adalah negatif.
“Berikutan itu, dia yang juga pembantu kedai dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan lengkap dijalankan dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Terdahulu, tular aksi kedua-dua lelaki itu yang mengekori rapat ambulans menerusi video berdurasi 42 saat hingga mengundang kecaman orang ramai.
Malah siasatan mendapati, mereka bukan ahli keluarga atau mempunyai kaitan dengan pesakit di dalam ambulans itu. – MalaysiaGazette