BATU PAHAT – Seorang pengawal keselamatan wanita maut selepas motosikal ditunggang melanggar seekor lembu di tengah Jalan Bypass, Kampung Gombak, Peserai di sini malam tadi.
Kejadian pada pukul 7.45 malam itu mengorbankan Dewiana Marpok, 47, yang beralamat di Kampung Tebing Tinggi, Mukim 4 di sini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku ketika motosikal mangsa dari Kampung Bintang menghala ke Kampung Gombak.
“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai telah melanggar seekor lembu yang sedang berada di tengah jalan tersebut.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian organ dalam badan iaitu kecederaan dalaman,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kemalangan tersebut tidak melibatkan mana-mana kenderaan lain dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.
Tambahnya, boleh juga menyalur informasi melalui hotline Polis Kontinjen Johor menerusi 07-2212999 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat 07- 4343999.- MalaysiaGazette