JAWI – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan sepasang suami isteri direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera dan rogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Aina Ahmad bermula hari ini sehingga 9 Disember depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek lelaki berusia 42 tahun dan isterinya, 44, tiba di mahkamah pukul 9 pagi berpakaian lokap dengan diiringi anggota polis.
MalaysiaGazette difahamkan, polis menyelamatkan mangsa berusia 11 tahun itu di sebuah rumah teres di Sungai Bakap dekat sini semalam selepas menerima laporan daripada ibu saudaranya.
Wanita tersebut mendakwa suspek lelaki yang merupakan bekas adik ipar kepada bapa mangsa enggan membenarkan dia melawat kanak-kanak tersebut.
Bertindak atas laporan itu, polis menyelamatkan kanak-kanak tersebut sebelum mendapati ada kesan penderaan di bahagian badan dan muka mangsa selain dipercayai turut menjadi mangsa rogol kepada bapa saudaranya itu.
Difahamkan, mangsa kini ditempatkan di Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut manakala bapa kandung mangsa berada dalam tahanan penjara.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette