Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Mara Brew Õ23 di Ibu Pejabat Mara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Institusi latihan dan kemahiran GiatMARA akan memulakan kursus Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pekerja gig.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, GiatMARA telah menghasilkan satu program latihan TVET khusus buat kumpulan pekerja terbabit.

Katanya, pekerja GIG boleh menyertai program latihan dalam pelbagai kemahiran secara separuh masa.

Menurut Asyraf Wajdi, pekerja terbabit yang rata-ratanya golongan muda seharusnya sudah mula memikirkan kerjaya untuk jangka masa panjang.

Mereka menurutnya, mungkin akan berhadapan dengan pelbagai cabaran sekiranya meneruskan pekerjaan tersebut apabila usia semakin meningkat dan mempunyai keluarga.

“MARA melalui GiatMARA akan mula program TVET kepada pekerja GIG. Contohnya penghantar makanan dilatih kemahiran selenggara alat pendingin hawa. Sambil hantar makanan, boleh tawar khidmat servis pendingin hawa.

“Sampai bila pekerja gig seperti penghantar barangan dan makanan akan terus bekerja dalam industri gig yang lebih berupa sambilan. Jika melangkau 40-an dan berkeluarga waktu itu tenaga sudah kurang.

“Kalau tidak ada kemahiran lain atau sijil pendidikan sukar mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam perkongsian di media sosia.

Menurut Asyraf Wajdi, selain daripada memperolehi kemahiran peserta akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf.

Melalui Dasar TVET Negara pemilik sijil SKM tahap tiga dan empat kini boleh menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan peringkat ijazah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here