KUALA LUMPUR – Seramai 235,414 pekebun kecil menerima manfaat hasil agihan RM522.35 juta Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak ia dilaksanakan pada 2015 sehingga Oktober lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan melaksanakan IPG bagi melindungi kebajikan pekebun kecil terutamanya semasa harga getah menurun.
Malah katanya, langkah itu adalah untuk memastikan pendapatan mereka berada pada paras yang ditetapkan melalui insentif berkenaan.
“Bermula 1 Januari lalu, paras harga pengaktifan (PHP) dinaikkan kepada RM3 sekilogram dengan siling peruntukan berjumlah RM400 juta,” katanya di Dewan Negara, hari ini .
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad berhubung usaha kementerian dalam memastikan kelestarian ladang penanaman getah susulan perkembangan industri getah yang tidak serancak ladang penanaman sawit.
Menurut Johari, usaha kelestarian ladang penanaman getah turut dirancakkan melalui Program Konsolidasi Kawasan Getah Terbiar yang bertujuan memanfaatkan 420,000 hektar kawasan tidak produktif di seluruh negara.
Tambah beliau, program sedang dirangka ini dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama agensi seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FELCRA Bhd serta koperasi.
Jelasnya, ia juga melibatkan pendekatan kluster berskala ekonomi bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan.
Katanya, inisiatif berkenaan turut memberi peluang kepada generasi muda menyertai sektor getah melalui penyediaan pekerjaan tetap dan pendapatan lebih menarik. – MalaysiaGazette