SEOUL – Penunjuk perasaan berarak ke pejabat Presiden Korea Selatan di sini pada malam Rabu selepas Yoon Suk-yeol susulan mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera.
Sambil bergerak, para penunjuk perasaan melaungkan “Tangkap Yoon Suk-yeol” dan “Yoon mesti berundur”.
Perarakan itu berlaku selepas penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan menyalakan lilin berhampiran Gwanghwamun di tengah Seoul sambilmenuntut Yoon berundur.
Penganjur menganggarkan 10,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu.
Sebelum ini, parti pembangkang Korea Selatan mengemukakan usul untuk memecat Presiden Yoon Suk Yeol susulan pengisytiharan undang-undang tentera yang kemudian berjaya disekat oleh ahli Parlimen.
Menurut agensi berita Yonhap, Parti Demokratik (DP), parti pembangkang utama dan lima lagi parti pembangkang kecil, termasuk Rebuilding Korea Party dan Reform Party menyerahkan usul itu kepada pejabat rang undang-undang di Dewan Negara pada jam 2.43 petang.
Usul pemecatan itu ditandatangani oleh 190 ahli Parlimen pembangkang dan seorang ahli Parlimen bebas, tanpa sokongan daripada mana-mana ahli Parlimen parti pemerintah.
Parti pembangkang merancang untuk melaporkan usul itu kepada sidang pleno Parlimen pada Khamis dan mengadakan undian pada Jumaat atau Sabtu.
Yoon Suk-yeol, mengumumkan penarikan balik undang-undang darurat pada awal pagi Rabu selepas Dewan Kebangsaan meluluskan usul mendesak ia ditamatkan, lapor agensi berita Yonhap.
Di bawah Perlembagaan, undang-undang tentera mesti dibatalkan apabila majoriti ahli Parlimen menuntutnya.
Daripada 300 ahli Parlimen, 190 hadir dalam sesi itu dan kesemuanya menyokong usul untuk menamatkan undang-undang tentera.
Kabinet meluluskan usul penamatan undang-undang darurat itu pada jam 4.30 pagi, kira-kira enam jam selepas Suk-yeol mengisytiharkannya, sambil menuduh pembangkang ‘melumpuhkan’ kerajaan dengan ‘aktiviti anti-negara’.
Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan mengesahkan pasukan tentera yang dikerahkan untuk melaksanakan undang-undang darurat telah kembali ke pangkalan masing-masing, sekali gus memulihkan keadaan seperti biasa.
“Pada jam 11 malam tadi, saya mengisytiharkan undang-undang darurat kecemasan dengan tekad yang teguh untuk menyelamatkan negara daripada ancaman pasukan anti-negara yang cuba melumpuhkan fungsi penting negara dan memusnahkan perintah perlembagaan demokrasi bebas.
“Namun, kerana Dewan Kebangsaan telah mendesak supaya ia ditarik balik, saya mengarahkan pengunduran pasukan yang dikerahkan bagi melaksanakan urusan undang-undang darurat,” kata Suk-yeol.
Beliau turut menggesa Dewan Kebangsaan menghentikan apa yang disifatkannya sebagai aktiviti ‘melampau’ yang melumpuhkan fungsi kerajaan, termasuk cubaan memecat pegawai-pegawai tertentu.
Selepas pengumuman itu, ahli Parlimen pembangkang mengkritik tindakan Suk-yeol, dengan sebahagian daripada mereka mengancam untuk memulakan proses pendakwaan terhadap beliau.
Pengisytiharan tersebut turut menarik perhatian antarabangsa, dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) menyuarakan ‘kebimbangan serius’ dan menggesa pertikaian politik di Korea Selatan diselesaikan secara ‘aman’. – Agensi