KUALA LUMPUR – Masjid Jamek Cina Muslim Klang, hasil cetusan idea Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal dirasmikan oleh baginda esok.
Seni reka menarik masjid yang terletak di Bandar Botanik ini diilhamkan oleh baginda sendiri daripada reka bentuk salah sebuah masjid di daerah Xi’an, negara China.
Baginda telah berangkat ke China pada tahun 2015 dan berkesempatan melawat ke masjid di bandar Xi’an yang merupakan antara masjid tertua di negara itu.
“Tertarik dengan sejarah dan senireka masjid berkenaan, baginda memasang impian agar dibina sebuah masjid berkonsepkan senibina masjid yang hampir serupa untuk didirikan di negeri Selangor dan dijadikan sebagai masjid Cina Muslim,” menurut kenyataan Selangor Royal Office.
Baginda juga telah mencadangkan agar pihak Kerajaan Negeri Selangor mengadakan lawatan ke Xi’an bagi mengambil ilham seni bina masjid berkenaan.
Masjid Jamek Cina Muslim ini akhirnya siap dibina pada 11 Julai 2024 dan dibuka secara rasmi pada 22 Ogos 2024.
Ia terletak di Bandaraya Diraja Klang, yang mana terletaknya juga Masjid Diraja Sultan Sulaiman di Kampung Jawa serta rumah-rumah ibadat agama selain Islam seperti Tokong-tokong penganut Buddha, Kuil-kuil penganut agama Hindu, Gereja-gereja bagi penganut agama Kristian serta Gurdwara Sahib bagi penganut Sikh.
“Adalah menjadi hasrat Baginda, dengan terbinanya rumah-rumah ibadat pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang ini, akan dapat membentuk persefahaman serta perasaan hormat-menghormati di antara penganut pelbagai agama di Bandaraya Diraja Klang khususnya dan di negeri Selangor amnya, kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette