Foto Facebook Dr Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 atau Akta 505 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Ia mengandungi peruntukan berkaitan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan dan organisasi mahkamah-mahkamah syariah dan perkara yang berkaitan dengannya.

Akta terbabit turut memperuntuk peranan dan tanggungjawab pelbagai agensi agama di Wilayah Persekutuan iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Zulkifli berkata, walaupun Akta 505 sudah dipinda beberapa kali, terdapat peruntukan lain yang memerlukan pindaan selaras perkembangan semasa bagi memperkemas tadbir urus hal ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan.

“Langkah melaksanakan pindaan juga bertujuan memastikan tadbir urus dan operasi agensi agama dapat berjalan dengan lebih baik dan lancar,” katanya.

Sebelum itu, ketika berbahas, beberapa ahli Parlimen membangkitkan kegusaran  susulan sebelum ini takrif hukum syarak dalam akta terbabit menyebut ‘ia mengikut mana-mana mazhab diiktiraf’ berbanding cadangan pindaan kepada ‘mengikut Mazhab Syafie atau mengikut mana-mana satu mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali’.

Antaranya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoalkan keperluan untuk pindaan dibuat bagi takrif hukum syarak.

“Dulu kita terbuka iaitu hukum syarak mengikut mana-mana mazhab diiktiraf… sekarang menteri dan timbalan ilmu tinggi tetapi kita jumudkan pula khusus kepada Mazhab Syafie, Hanafi, Hambali atau Maliki.

“Dalam Islam, ada banyak lagi mazhab lain termasuk Mazhab Imam al-Bukhari. Kalau kita jumudkan perkara ini, ia akan menyebabkan lebih banyak perbezaan pendapat dalam kalangan rakyat Malaysia, saya tak setuju,” katanya.

Zulkifli ketika menjawab perkara itu menjelaskan isu itu tidak berbangkit.

“Ia tidak menyempitkan kerana dalam seksyen lain (RUU ini), mufti dalam membuat fatwa akan merujuk tatacara sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 39.

“Ia tidak buatkan ia sempit kerana Seksyen 39(3) memperuntukkan jika mufti berpendapat tidak ada satu pun qaul muktamad (pendapat yang diterima) yang boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan berlawanan dengan kepentingan awam maka mufti boleh menyelesaikan mengikut hemat sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada empat mazhab itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast