KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 yang membolehkan liputan gaji minimum terpakai kepada pekerja kontrak perantisan atau apprenticeship.
Pindaan ke atas Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pindaan dibuat bukan sekadar langkah kecil dalam menambah baik sistem tenaga kerja tetapi sebagai satu titik perubahan besar yang menentukan Malaysia melindungi, mempersiap dan memberi peluang kepada generasi muda untuk berjaya.
“Walaupun pindaan ini nampak kecil, kesannya kepada kehidupan perantis amat besar. Ia membabitkan keadilan dan kebajikan mereka sebagai pekerja muda yang sedang menapak di dunia pekerjaan.
Terdahulu, ketika membacakan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua, Abdul Rahman berkata, sejak pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) yang pertama pada 2012, pembayaran gaji minimum tidak terpakai kepada pekerja kontrak perantisan.
Ia berikutan tafsiran kontrak perkhidmatan di bawah Seksyen 2 Akta 732 yang memperuntukkan kontrak perkhidmatan tidak termasuk pekerja kontrak perantisan.
“Gaji perantis selalunya ditetapkan melalui proses persetujuan dua pihak iaitu antara majikan dan perantis. Justeru, kementerian berpandangan tafsiran kontrak perkhidmatan di bawah Akta 732 perlu dipinda supaya liputan gaji minimum terpakai kepada pekerja kontrak perantisan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, program perantisan adalah pendidikan dan latihan yang dikawal oleh perjanjian perantisan yang mana ia membolehkan mereka memperoleh kecekapan yang diperlukan untuk bekerja dalam sesuatu pekerjaan melalui latihan berstruktur dan diberi imbuhan atau pampasan kewangan.
Ia berbeza dengan program latihan (traineeship) iaitu pembelajaran di tempat kerja yang membolehkan pelatih memperoleh pengalaman kerja dan kompetensi bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan program latihan industri (internship) membabitkan pelajar yang diberi pendedahan dan pengalaman serta menerima latihan jangka masa pendek di alam pekerjaan sebenar bagi melengkapkan keperluan mendapatkan tahap kelulusan pendidikan/ pembelajaran tertentu.
“Daripada aspek perundangan, hanya program perantisan yang mempunyai peruntukan undang-undang yang tersendiri manakala program dalaman lain seperti program latihan dan latihan industri tidak mempunyai undang-undang, peraturan atau panduan tertentu yang mengikat pelaksanaan program itu serta hanya bergantung kepada majikan sebagai pelaksana program,” katanya. – MalaysiaGazette