Polis memberkas dua ahli sindiket meminta derma di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU – Polis memberkas dua beradik warganegara asing yang dipercayai menjadi dalang sindiket meminta derma di beberapa kawasan di negeri ini.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan mereka dalam serbuan di premis kediaman sekitar Taman Tiram Baru, Ulu Tiram di sini pada pukul 11 pagi kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, premis berkenaan dijadikan tempat tinggal pengutip derma warga asing.

“Dua suspek utama tersebut berusia 47 dan 51 tahun. Hasil ujian air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis ketamin.

“Menerusi serbuan ini juga pihak polis menyelamatkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 21 hingga 70 tahun.

“Mereka dijadikan sebagai pengutip derma oleh sindiket ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Kumar, dalam serbuan tersebut turut dirampas dua kenderaan serta enam tabung tertera tulisan sumbangan ikhlas untuk pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim.

Turut dirampas, katanya, fail mengandungi salinan surat pelantikan wakil memohon sumbangan Ikhlas menggunakan kepala surat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Kita turut merampas empat keping gambar pembinaan sebuah madrasah, sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama, 10 keping resit penghantaran wang, cap atas nama madrasah dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM9,158,” ujarnya.

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan 2019 dengan menjadikan kawasan sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Ayer Hitam dan Simpang Renggam sebagai lokasi sasaran.

Kedua-dua dalam utama tersebut, katanya, berperanan sebagai pemandu dan perancang kegiatan mengutip derma.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan memperdaya orang ramai untuk mempercayai bahawa kutipan derma akan digunakan untuk membiayai sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkla, Thailand,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 3(2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Jalanan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kontinjen Johor menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan taktik sindiket dan wajar memeriksa kesahihan dokumen yang ditunjukkan sebelum menderma,” ujarnya.

Sebarang maklumat aktiviti jenayah katanya, boleh disalurkan menerusi talian hotline polis Johor 019-2792095 atau bilik gearkan 07-221299.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here