Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong , ketika berucap pada Majlis peluncuran Garis Panduan AKF di M Resort Hotel, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) akan menjalankan kajian untuk menilai impak pelaksanaan Aturan Kerja Anjal atau Fleksibel (AKF).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kajian itu akan dilakukan dalam tempoh enam bulan dengan melihat kesan AKF terhadap syarikat, terutamanya daripada segi produktiviti dan keberkesanan.

Menurut beliau, walaupun laporan antarabangsa menunjukkan pelaksanaan AKF tidak menjejaskan produktiviti, kajian menyeluruh di peringkat tempatan diperlukan bagi memahami kesannya terhadap tenaga kerja dan majikan di Malaysia.

“Sehubungan itu, akan ada kajian dalam tempoh enam bulan ini untuk melihat kepada kesan-kesan aturan kerja ke atas syarikat-syarikat yang melaksanakan perkara ini,” katanya selepas merasmikan majlis peluncuran Garis Panduan AKF, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi.

Menurut Steven, Talentcorp secara konsisten menyokong majikan dalam pelaksanaan AKF sejak 2015 dengan menyediakan panduan dan maklumat diperlukan selaras pindaan Akta Kerja 1955 yang dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2023.

“Telekom pada tahun ini telah diberikan satu tanggung tugas iaitu untuk menjalankan satu kempen menggalakkan aturan kerja dan sehingga Oktober lalu, Talentcorp sudah mengadakan bengkel kepada 3,000 organisasi dengan membabitkan 565,210 pekerja yang menunjukkan potensi transformasi AKF,” ujarnya.

Tambah beliau, kempen pelaksanaan AKF akan diperluas di kawasan tumpuan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru yang menjadi hab syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, pelaksanaan AKF bukan sahaja membantu mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif tetapi juga menyumbang kepada pengurangan kesesakan lalu lintas dan isu kesihatan mental pekerja.

“Ramai majikan dan HR mahu melaksanakan AKF tetapi mereka tidak tahu bagaimana kaedah sesuai melakukannya.

“Jadi dengan peluncuran garis panduan ini ia satu kesinambungan kepada usaha kerajaan dan KESUMA untuk memperkasakan pekerja serta membantu majikan mengoptimumkan sumber manusia dan kos pengoperasian syarikat.

“Ia selaras dengan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 [Pindaan] 2022 di bawah seksyen 60P dan 60Q yang memberi hak kepada pekerja untuk memohon AKF bagi memenuhi keperluan semasa dan adaptasi teknologi,” katanya.

Garis panduan yang diperkenalkan berfungsi sebagai alat utama untuk memudahkan pelaksanaan AKF dengan menyediakan maklumat menyeluruh kepada semua pihak, termasuk pekerja dan majikan.

Beliau menjelaskan, garis panduan tersebut merangkumi aspek penting seperti definisi AKF, prosedur pelaksanaan, panduan permohonan oleh pekerja, serta tanggungjawab kedua-dua pihak dalam memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

“Selain penghasilan garis panduan ini, KESUMA melalui kerjasama strategik JTKSM (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malavsia) dan TalentCorp akan terus memberikan bimbingan dan tunjuk ajar berhubung pelaksanaan AKF mengikut kesesuaian masa, tempat dan golongan sasar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here