KUALA LUMPUR – Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente memanggil tiga pemain baharu dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi saingan Piala AFF 2024 yang akan membuka tirainya Ahad ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan mengesahkan pemain yang dipanggil adalah pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar dan penjaga gol Johor Darul Ta’zim II (JDTII), Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa.
Seorang lagi pemain adalah pemain Bawah 23 tahun (B-23), Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon.
“Harith Haiqal menggantikan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Harith Samsuri yang mengalami kecederaan manakala Haziq Aiman pula menggantikan penjaga gol Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim kerana masalah kesihatan.
“Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon turut dipanggil menyertai kem skuad Harimau Malaya sebagai pemain tambahan jika berlaku kecederaan atau sebarang kemungkinan ke atas pemain-pemain lain,” katanya.
Senarai akhir 26 pemain untuk didaftarkan bagi kempen Piala AFF 2024 hanya akan dimuktamad pada Sabtu ini sehari sebelum perlawanan pertama Kumpulan A, Malaysia bertemu Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad ini.
Selain Kemboja, skuad negara dalam Kumpulan A akan turut bertemu juara bertahan, Thailand ; Singapura dan juga Timor-Leste.
Kumpulan B pula menampilkan naib juara edisi 2022 ; Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar serta Laos. – MalaysiaGazette