PLKN
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Parlimen mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk melaksanakannya, maka JKPP berpendapat satu kajian yang lebih mendalam dan terperinci perlu dibuat terlebih dahulu.

Pendirian JKPK ini dibuat berdasarkan justifikasi-justifikasi di mana pelaksanaan PLKN 3.0 tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas berikut masalah berlanjutan (legasi) akibat objektif dan sasaran PLKN 1.0 yang tidak jelas, ujarnya.

“Sekiranya PLKN 3.0 ingin dilaksanakan juga, maka, matlamat dan modulnya hendaklah berasaskan latihan ketenteraan atau separa-ketenteraan. Tetapi, persoalannya adakah negara memerlukan PLKN yang sedemikian?

“Modul PLKN 3.0 yang dicadangkan ini adalah bercampur-aduk iaitu 70 peratus Asas Ketenteraan dan 30 peratus Kenegaraan.

“Modul PLKN 3.0 yang dicadangkan ini memberi penekanan 70 peratus dalam Asas Ketenteraan. Tetapi, sebahagian daripada kandungannya tiada kaitan dengan Asas Ketenteraan,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Maran), Chong Chieng Jen (Stampin) dan V. Sivakumar (Batu Gajah).

Ahli lain adalah Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Ahmad Johnie Zawawi (Igan) dan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol).

Pada 3 Disember lalu, JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mengadakan mesyuarat bagi mendengar taklimat daripada Kementerian Pertahanan dan Malaysian Institute of Defence and Security berkenaan laporan penilaian dan keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 1.0 dan 2.0 serta Strategi Pelaksanaan PLKN 3.0.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, pendiriannya turut melibatkan justifikasi seperti kandungan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kandungan-kandungan Kenegaraan dan lain-lain (iaitu yang bukan Asas Ketenteraan) dapat disampaikan melalui program-program atau institusi-institusi pendidikan sedia ada.

Katanya, kajian-kajian turut mendapati PLKN 1.0 dan 2.0 tidak meninggalkan kesan positif jangka panjang dalam kalangan calon-calon, dengan kata lain ia kurang berkesan.

“Adalah didapati bahawa PLKN 1.0 dan 2.0, dan 3.0 juga, melibatkan kos pelaksanaan yang amat tinggi, berbanding kesan positif yang tidak seberapa, sedangkan kesan positif yang sama itu boleh didapatkan melalui program-program atau institusi-institusi pendidikan yang sedia ada dan sebagainya,” katanya.

Pada 16 November lalu, Kementerian Pertahanan mengumumkan PLKN 3.0 akan bermula 12 Januari tahun depan membabitkan 200 pelatih lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, ia adalah latihan atau fasa percubaan sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.

Katanya, latihan itu akan membabitkan tempoh selama dua minggu dan dilaksanakan di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Transit di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.