Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Warga di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 5 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kecewa dengan kelewatan beberapa projek transformasi, antaranya pelaksanaan MyDigital ID, rangkaian 5G kedua dan rundingan DNB dengan syarikat telekomunikasi (telco).

Perdana Menteri yang memohon maaf kerana bersikap keras selama dua tahun ketika berdepan perkara itu berkata, terdapat perkara berbangkit yang menyebabkannya berasa kurang sabar.

“Kerana kadang-kadang harapan kita tinggi dan bukan salah di sini maknanya MyDigital ID itu terlambat pelaksanaannya selama setahun dan kemudian urusan rangkaian 5G kedua dan rundingan DNB dengan syarikat telco juga tertangguh.

“Peringatan kita setahun yang lalu belum dijawab dengan positif oleh kedua-dua pihak menjadikan saya hilang kesabaran,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar ketika Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian 4 (IR4.0) di Putrajaya semalam berkata, beliau kurang sabar dengan kelewatan itu yang menyebabkan beliau beremosi ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Menteri Kewangan itu yang menganggap kekecewan dan kemarahannya itu perkara biasa memberitahu, ini kerana beliau  merupakan orang biasa yang mempunyai emosi.

“Saya harus ingat juga bahawa marah ada batas, semalam saya agak terlanjur kemarahan saya minta maaf terutama kepada hadir dan saya juga ada kekurangan sebagai orang biasa,” ujarnya.

Pada Oktober lalu, ramai rakyat Malaysia merungut kerana ‘gagal’ untuk mendaftar aplikasi MyDigital ID yang diperlukan untuk log masuk aplikasi MyJPJ.

Malah sistem aplikasi MyDigital ID tergendala dalam tempoh yang lama untuk menyelesaikan proses pendaftaran.

Pada 1 November lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan U Mobile telah dipilih sebagai pelaksana Rangkaian Kedua 5G di Malaysia selepas melalui proses tapisan ketat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast