KUALA LUMPUR – Batalkan penyelarasan gaji dan elaun Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang akan dilaksanakan tahun depan.
Itu gesaan Timbalan Ketua Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan yang terkejut dan kecewa kerana kadar kenaikan itu yang diputuskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan beberapa hari lepas yang dianggap tidak munasabah.
Menurutnya, apa yang mengejutkan apabila gaji Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun naik sebanyak 56.5 peratus kepada RM30,000 berbanding kadar semasa sebanyak RM19,175.
Manakala gaji ahli Exco pula naik sebanyak 56.1 peratus kepada RM17,000, ADUN menerima gaji sebanyak RM13,000 manakala gaji Setiausaha Politik Menteri Besar naik sehingga 100 peratus kepada RM10,000.
“Rakyat sedang bergelut krisis ekonomi, kos sara hidup meningkat begitu mendadak. Langkah ini sangat tidak wajar. Parti dan kerajaan anda kononnya pejuang kebajikan rakyat tetapi setelah menang, anda terlebih dahulu berjuang untuk kepentingan diri sendiri, apa ini?
“Ketika rakyat Negeri Sembilan bergelut dengan banjir dan ada yang kehilangan segala harta benda, Menteri Besar sibuk memikirkan kenaikan gaji untuk dirinya dan ADUN.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak mengambil gaji demi rakyat tetapi Menteri Besar dari parti yang sama pula memutuskan untuk menaikkan gaji. Sudah mendapat gaji sebagai Menteri Besar, ADUN dan Ahli Parlimen, kini mahu lebih lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kata Sanjeevan lagi, kerajaan negeri sepatutnya memikirkan bagaimana untuk membantu rakyat dan fokus menyelesaikan isu tebatan banjir yang tertangguh sekian lama.
Semalam, Aminuddin berkata, penyelarasan semula gaji dan elaun ADUN di negeri itu dilakukan selepas mengambil kira tempoh 10 tahun ia tidak dilakukan semakan semula. -MalaysiaGazette