Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Inisiatif subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi laluan dari semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan utama akan diteruskan sehingga 2025.

Kementerian Pengangkutan berkata, bermula Krismas 2024 harga maksimum tiket penerbangan bagi destinasi berkenaan ditetapkan pada RM499, turun berbanding harga ambang sebelum iaitu RM599 sehala.

Harga itu bagaimanapun tidak termasuk cukai dan fi.

Tambahnya, tempoh pelaksanaan inisiatif ini juga akan dilanjutkan kepada empat hari berbanding tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan-perayaan utama tersebut.

“Kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dan harga maksimum tersebut.

“Penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula jam 0001 (0001 hours), 6 Disember 2024. Orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan mulai tarikh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penumpang perlu mematuhi beberapa terma dan syarat tiket yang telah ditetapkan antaranya tidak dibenarkan mengubah tarikh atau menukar penerbangan.

Ia hanya sah untuk tarikh/penerbangan yang ditunjukkan pada tiket.

Penumpang juga tidak dibenarkan untuk menukar nama dan tiket penerbangan yang telah dibeli tidak boleh dikembalikan.

Tambahnya, mungkin terdapat beberapa variasi kepada terma dan syarat yang ditambahbaik dan ditawarkan oleh sesetengah syarikat penerbangan.

“Walau bagaimanapun, pengguna akan tetap dilindungi mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

“Pemberian bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sempena musim perayaan ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan pengguna yang ingin pulang ke kampung halaman sempena musim-musim perayaan 2024 dan 2025 serta menyokong komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup rakyat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast