KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Mahkamah Sesyen, di sini, jam 8.33 pagi tadi.
Kedua-dua pasangan itu bakal berdepan pertuduhan kes pecah amanah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang itu.
Vivy yang memakai pakaian serba putih kelihatan tenang dan berpimpin tangan dengan suaminya memasuki kompleks mahkamah.
Mereka tiba dengan menaiki kenderaan berwarna hitam dan dikerumuni pengamal media yang menanti ketibaan pasangan suami isteri itu di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi tadi.
Semalam, media melaporkan pasangan itu akan didakwa atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen membabitkan kes pecah amanah Khazanah dan PNB dalam platform e-dagang berkenaan.
Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pasangan tersebut akan didakwa dan telah menahan mereka di pejabat SPRM.
Bagaimanapun, pasangan terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM untuk hadir ke mahkamah hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, SPRM menyerbu FashionValet dan serta Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB secara serentak.
Vivy dan Fadzaruddin diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Isu berhubung kerugian pelaburan itu mendapat perhatian umum ebelum Vivy dan suaminya tampil memohon maaf susulan kontroversi yang menjejaskan PNB dan Khazanah.
Pasangan itu mengaku tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif. – MalaysiaGazette