Haresh Mahadevan (tengah) dan Ramzani Idris (kiri) ditemui wakil media selepas sebutan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matiin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 6 Disember 2024

PETALING JAYA – Pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf melantik pasukan pembelaan baharu mewakili mereka pada perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dijadual bermula Februari tahun depan.

Pada prosiding lalu, kedua-duanya diwakili peguam Fahmi Abd. Moin dan Ilyani Khuszairy.

Fahmi ketika dihubungi wakil media menyatakan, mereka tidak lagi bertindak bagi pihak pasangan itu selepas khidmat guaman dihentikan dua hari lalu (4 Disember).

“Saya dihubungi melalui WhatsApp pada Rabu lalu dan menerima surat makluman bahawa mereka mahu menamatkan khidmat kami sebagai peguam.

“Penamatan itu berkuatkuasa hari yang sama. Saya tidak mengetahui alasan mereka, namun saya hormati keputusan itu kerana kedua-duanya berhak memilih mana-mana peguam yang dikehendaki,” ujarnya.

Terdahulu, pelantikan baharu itu dimaklumkan oleh peguam-peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris ketika sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ketika ditemui pihak media selepas itu, Ramzani berkata, mereka baru dilantik semalam bagi mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira sepanjang perbicaraan kes.

“Kami baru sahaja mendapat arahan lantikan, namun tiada alasan dinyatakan mengenai menukaran pasukan pembelaan,” kata Ramzani.

Sementara itu, Haresh berkata, pihak pembelaan telah meneliti semua dokumen dan anak guam telah menyatakan mahu membersihkan nama daripada pertuduhan yang dihadapi mereka.

Ketika mula direman sehingga pendakwaan dikemukakan, Ismanira diwakili peguam Mahmud Jumaat sementara Fahmi hadir bagi pihak Zaim Ikhwan.

Bagaimanapun, pada 26 Julai lalu, Mahmud mengesahkan tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan dan tidak hadir ke mahkamah pada prosiding di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

Susulan itu, Fahmi dilantik secara rasmi pada 4 Jun bagi mewakili kedua-dua tertuduh pada prosiding seterusnya.

Zaim Ikhwan, 29, dan Ismanira, 29, hadir di mahkamah hari ini bagi mendengar keputusan representasi untuk menggugurkan pertuduhan terhadap mereka.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan representasi itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dan telah dimaklumkan kepada peguam terdahulu.

Pada 13 Jun lalu, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada pukul 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here