BATU PAHAT – Polis melancarkan gerakan mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dilaporkan hilang pada malam kelmarin selepas kereta dinaikinya dijumpai dalam kawasan kebun kelapa sawit di Parit Raja, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pukul 11.38 malam pada 4 Disember pihaknya menerima satu laporan lelaki bernama Edwin Soo Seng Kok, 43, dikesan tiada di rumahnya di Taman Bukit Perdana di sini.
“Melalui pemeriksaan daripada ahli keluarga lelaki yang tinggal seorang diri rumah berkenaan, rumahnya ditinggalkan dalam keadaan lampu, kipas serta penyaman udara terpasang namun kereta tiada dalam kawasan rumah.
“Pukul 9 pagi keesokannya, kereta milik lelaki berkenaan telah ditemui di kawasan kebun kelapa sawit di Parit Raja dengan keadaan tayar hadapannya tersangkut dalam tanah berlumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil siasatan awal katanya, mendapati beberapa penduduk berhampiran penemuan kereta itu ada terlihat kelibat seorang lelaki berjalan kaki seorang diri, selain minta kebenaran minum air paip di halaman rumah dan berehat sebentar sebelum didapati menghilangkan diri.
Menurut Shahrulanuar, susulan itu operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) bersama penduduk setempat dilancar namun gagal ditemui hingga kini.
Ujarnya, terdapat maklumat daripada orang ramai yang menyatakan terlihat sosok dipercayai lelaki berkenaan di beberapa kawasan tersebut, usaha mengesannya masih diteruskan.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki ini yang dipercayai telah hilang sejak 2 Disember lalu diharapkan dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.- MalaysiaGazette