JOHOR BAHRU – Tular seorang murid berusia 10 tahun dipercayai ditendang muka dan ditumbuk serta direntap rambut dan diseret oleh guru sekolahnya.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Facebook Herman Sudil, dia meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan perbuatan guru berkenaan.
Dia mempersoalkan tindakan guru lelaki tersebut yang disifatkan keterlaluan.
“Boleh ke cikgu lelaki sekolah sepak muka budak 10 tahun? Selepas tu bila budak jatuh menangis dia tumbuk pulak! Lepas tu rentap rambut dan seret budak punya rambut sampai ke ofis.
“Sebab dia takde mak bapak, cikgu berani buat bergitu kepada #anaktbq?
“Sebab dia duduk di rumah kebajikan maka boleh perlakukan budak ini lebih teruk dari binatang? Ini bukan nak mendidik tetapi mencederakan budak,” tulisnya dalam hantaran itu.
Katanya lagi, walau macamana nakal sekali pun murid tersebut, guru terbabit perlu ikut peraturan termasuk dibebarkan merotan jika buat salah.
“Nak rotan dipersilakan, tapi ikut SOP KPM bukan belasah budak ikut nafsu sampai blue black muka budak.
“TBQ Amal akan buat laporan polis dan serah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakkan yang sewajarnya. Mohon share agar perkara ini dinoktahkan disemua sekolah,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
“Kita mengesahkan ada terima laporan berhubung kes tersebut pada 5 Disember 2024 dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi mendapatkan arahan untuk menyiasat,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.- MalaysiaGazette