BAYAN BARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneliti permohonan pengiktirafan status Bumiputera bagi komuniti India Muslim yang didakwa kini sering ditolak.
Anwar menegaskan permohonan status Bumiputera bagi golongan India Muslim akan dikaji mengikut proses perlembagaan yang sedia ada dengan memberi tumpuan kepada penilaian individu.
“Proses ini berdasarkan individu, jadi ia tidak mempunyai kerangka masa tertentu. Itu tugas Datuk Seri Saifuddin, kementeriannya yang uruskan.
“Malah setiap permohonan perlu diproses secara individu bukan secara kumpulan atau persatuan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar menyempurnakan Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-70 Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang.
Pada majlis itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meluluskan peruntukan RM250,000 kepada persatuan tersebut untuk memperkasakan program latihan keusahawanan serta inisiatif pembangunan generasi muda.
Terdahulu, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Seri Haja Najmudeen Kader mendakwa komuniti India Muslim kini berdepan kesukaran mendapat status tersebut kerana permohonan mereka sering ditolak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sejak kebelakangan ini.
Katanya, penolakan permohonan pengiktirafan status Bumiputera dalam kalangan komuniti India Muslim memberi kesan kepada hak mereka dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan dan peluang ekonomi. – MalaysiaGazette