Mahkamah Syariah Terengganu

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Akta 585) dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Akta 505) yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini membuktikan agama Islam terus dijadikan teras utama dalam agenda pentadbiran negara.

Pesiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, pindaan berkenaan  dijangka mengukuhkan kecekapan pentadbiran selain dapat memastikan sistem kehakiman syariah terus relevan dalam menyelesaikan cabaran masyarakat moden.

“PKPIM percaya pindaan ini mengukuhkan keadilan dalam sistem kehakiman syariah, dengan prosedur yang lebih profesional dan telus; meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi agama, melalui sistem pentadbiran yang lebih sistematik dan berdaya saing.

“Menonjolkan Islam sebagai agama yang progresif, yang mampu menyesuaikan diri dengan cabaran dan keperluan semasa tanpa mengorbankan nilai-nilai asasnya,” katanya menerusi kenyataan.

Muhammad Dzul Aiman Zulkefly

Tambah beliau, pindaan itu juga membuktikan agama Islam terus dijadikan teras utama dalam agenda pentadbiran negara.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak menyokong pindaan tersebut yang akan menjadi permulaan terhadap strategik memperkasakan institusi syariah di negara ini.

“Pindaan ini bukan sekadar penambahbaikan sistem, tetapi juga satu usaha murni untuk memastikan keindahan dan keadilan Islam dapat terus dirasai oleh setiap lapisan masyarakat,” jelasnya.

Sebagai rekod, pindaan Seksyen 119 Rang Undang-Undang (RUU) Akta 585 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Antara pindaan adalah memberikan Mahkamah Syariah kuasa untuk membenarkan prosiding dijalankan secara tertutup bagi kes tertentu termasuk berkaitan kanak-kanak, poligami dan tuntutan fasakh.

Ia boleh dijalankan dalam situasi mahkamah berpuas hati terdapat sebab kukuh yang antaranya termasuk bagi kepentingan keadilan, kesejahteraan dan keselamatan awam.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata ia membawa maksud pendengaran kes dibuat sama ada di dewan mahkamah atau kamar hakim di antara pihak-pihak yang terbabit dan tidak boleh diakses oleh orang awam.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here