TUMPAT – Meskipun rumah yang didiami sudah roboh menyembah bumi, namun bagi mangsa banjir, Ghazali Ismail, 40, dia tetap berharap dapat pulang ke rumahnya dan meneruskan kehidupan seperti sebelum ini satu hari nanti.
Disebabkan itu, bapa kepada dua anak yang bekerja sendiri itu setiap hari datang menjenguk sisa-sisa runtuhan rumahnya dengan pandangan yang sedih dan sayu.
Ghazali merupakan antara beberapa penduduk di Kampung Baru Nelayan di sini, yang rumah mereka roboh disebabkan arus air yang deras ketika gelombang pertama banjir melanda daerah itu kira-kira seminggu lalu.
Mengimbau kejadian itu, Ghazali berkata, dia bernasib baik kerana sempat keluar dari rumahnya bersama isteri dan dua anaknya hanya beberapa jam sebelum rumahnya roboh.
Sebelum itu, katanya, kawasan kampung tersebut mula dinaiki air ekoran hujan lebat berterusan selama beberapa hari sebelumnya, iaitu kejadian banjir yang pertama kali dalam sejarah melanda kawasan tersebut.
“Pada mulanya saya tidak mahu berpindah kerana tidak menjangkakan banjir besar akan berlaku disebabkan kampung ini tidak pernah dilanda banjir sebelum ini.
“Tetapi selepas melihat banjir semakin tinggi dan arus air juga semakin deras, saya membuat keputusan keluar dari rumah kerana dapat merasakan situasi banjir akan menjadi lebih buruk,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.
Menurut Ghazali, selepas hampir seminggu, dia kini buntu untuk meneruskan kehidupan berikutan hilang tempat berteduh.
Buat masa ini, katanya, dia dan keluarga masih menumpang di sebuah sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), namun pusat itu akan ditutup buat masa terdekat berikutan situasi banjir yang semakin pulih.
“Saya pun tidak tahu ke mana mahu membawa keluarga berteduh selepas ini, sisa-sisa rumah yang tinggal sekarang pun tidak boleh dimasuki kerana boleh ranap sepenuhnya bila-bila masa dan berbahaya buat kami sekeluarga.
“Saya harap ada pihak berwajib khususnya kerajaan negeri dapat membantu saya membina kehidupan semula,” katanya.
Dalam pada itu, turut mengalami nasib yang sama ialah seorang lagi penduduk Kampung Baru Nelayan, Muhd. Hasbullah Che Harun, 36, yang sebahagian besar rumahnya turut roboh menyembah bunyi dalam kejadian banjir gelombang pertama hujung minggu lalu.
Lalu menyedihkan, kata Muhd. Hasbullah, rumah pusaka yang sudah didiami keluarganya sejak lebih 70 tahun itu kini tidak lagi selamat untuk didiami dan menunggu masa untuk rebah menyembah bumi sepenuhnya.
Bagaimanapun, katanya, dia reda dengan ujian yang melanda dan tetap memanjatkan kesyukuran kerana masih dilindungi Allah SWT meskipun ketika sebahagian rumahnya itu roboh, dia bersama ibunya masih berada dalam rumah tersebut.
“Ketika kejadian, saya dan ibu serta ahli keluarga lain sedang berkemas-kemas untuk keluar dari rumah ini dan menyelamatkan diri disebabkan banjir semakin tinggi dan air juga sangat deras.
“Kami bernasib baik kerana tidak berada di bahagian rumah yang roboh dan segera bergegas keluar menyelamatkan diri selepas kejadian itu,” katanya.
Menurut Muhd. Hasbullah, dia bersama lapan ahli keluarga lain yang tinggal di rumah itu sebelum ini kini menumpang di rumah saudara terdekat, dan tetap berharap untuk menetap semula di kawasan itu selepas ini.
Dalam pada itu, orang ramai yang berhasrat untuk membantu meringankan beban kedua-dua mangsa yang kehilangan rumah mereka akibat banjir tersebut boleh berbuat demikian dengan meyalurkan sumbangan ke Maybank di nombor akaun 153039191415 (Ghazali Bin Ismail) atau 153010548578 (Muhamad Hasbullah). – MalaysiaGazette