Para penerima anugerah merakamkan gambar bersama Naib Canselor, Kasim Mansor.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan graduan cemerlang pascasiswazah yang bakal menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-26 bermula 7 Disember dalam satu Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) UMS
2024.

Seramai 48 graduan pascasiswazah menerima penghargaan dalam pelbagai anugerah pada majlis tersebut, antaranya Anugerah Aspirasi Pascasiswazah, Anugerah Pelajar Terbaik (Kerja Kursus) mengikut program, Anugerah Tesis Terbaik,
Anugerah Pelajar Cemerlang (Sarjana), Anugerah Pelajar Cemerlang (Doktor Falsafah), dan Anugerah Penyelia Terbaik.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis tersebut berkata, seramai 735 orang pelajar program pascasiswazah termasuk 101 orang pelajar Ijazah Doktor Falsafah dan 145 orang
pelajar Ijazah Sarjana Penyelidikan akan menerima skrol masing-masing pada sidang pertama Konvokesyen UMS pada tahun ini.

“Jumlah ini turut meliputi 18 orang pelajar Ijazah Doktor Kesihatan Awam (DrPH); 18 orang pelajar Ijazah Sarjana Kesihatan Awam (MPH); 15 orang pelajar Sarjana
Speciality Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA); 124 orang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah serta seramai 314 pelajar program kerja kursus di bawah kendalian Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC) UMS.

“Pastinya detik menerima skrol daripada Tun Canselor UMS merupakan antara saat terindah dan penuh bermakna buat para pelajar sekalian.

“Perasaan sedemikian kita lanjutkan kepada pelajar-pelajar yang telah memberikan komitmen yang tinggi sehingga membolehkan mereka dipilih sebagai penerima beberapa anugerah istimewa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para graduan yang merupakan alumni UMS juga mempunyai peranan dalam meningkatkan kedudukan universiti.

“Anda mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dalam memastikan UMS terus relevan sebagai pusat pengajian tinggi yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat sekitar dan seantero dunia.

“Sekecil-kecil peranan yang anda boleh lakukan ialah dengan membawa imej baik UMS di mana jua anda bekerja atau berada.

“Tonjolkan ketajaman minda dan karisma kepimpinan anda yang selama ini dicungkil dan digilap semasa mengikuti pengajian di UMS,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada para graduan yang bakal menerima ijazah agar memanfaatkan pengurniaan ijazah tersebut sebaik mungkin dengan memberikan sumbangan yang tidak berbelah-bahagi kepada negara dan dunia sejagat.

Pada majlis tersebut, Felicia Ling Wen Xia dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan meraih penghargaan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (penyelidikan) Sarjana Sains, manakala bagi Sarjana Sains Sosial dianugerahkan kepada Fiqriyah Mohd Kunarto dari Fakulti Pengajian Islam.

Mivolil Duinong dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) pula dianugerahkan Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Penyelidikan) Doktor Falsafah (Sains), manakala bagi Doktor Falsafah (Sains Sosial) diberikan kepada Janet Jahudin dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan.

Turut diraikan pensyarah kanan dari FSSA, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien yang menerima Anugerah Penyelia Terbaik bagi Gugusan Sains, dan Prof. Madya Dr. Oliver Valentine Eboy yang menerima Anugerah Penyelia Terbaik bagi Gugusan Sains
Sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here