KUANTAN – Bekas model dan pelakon, Zahnita Dorothy Hussein Wilson mendapat hak hadanah empat anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini.
Beliau berjubah dan bertudung hitam tiba di perkarangan mahkamah jam 8.30 pagi tadi dan prosiding selesai hampir jam 11 pagi.
Selasa lalu, Zahnita Wilson memfailkan cerai terhadap suaminya, Abdul Zackery Ghouse di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan diwakili peguam syarie dari Asyikin Partners.
Hakim Borhan Hussin memutuskan hak interim tersebut diberikan selama 30 hari bermula hari terhadap tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 4 hingga 18 tahun.
Zahnita, 39, berkata, keputusan untuk bercerai kerana tidak mampu lagi mempertahankan rumah tangga yang telah dibina sejak 19 tahun lalu kerana menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak beberapa bulan lalu.
Semalam, suaminya dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dan menggunakan dadah. – MalaysiaGazette