GUA MUSANG – Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar besi penghadang di bahu jalan dekat Kilometer 3, Jalan Gua Musang – Kuala Krai awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian pukul 1.05 pagi itu, lelaki berusia 19 tahun itu menunggang motosikal jenis RS150 dari arah Kuala Krai menuju ke arah Gua Musang.
“Ketika sampai di lokasi kejadian mangsa yang hendak melalui selekoh ke kanan jalan terbabas dan melanggar penghadang besi di sebelah kiri bahu jalan.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Choon Foo memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan, katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-912 1222 atau Pegawai Penyiasat di talian 013-301 0408. – MalaysiaGazette