Antara mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Kedai Tanjung ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pasir Mas, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2024

 

KOTA BHARU – Hujan lebat mula melanda sebahagian besar daerah di negeri ini sejak awal pagi ini seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Beberapa daerah seperti Kota Bharu; Pasir Mas; Tumpat; Rantau Panjang dan Machang misalnya, mula menerima hujan agak lebat bermula kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Dalam pada itu, beberapa buah pusat penempatan sementara (PPS) yang masih beroperasi turut bersiap sedia menerima mangsa-mangsa banjir yang mungkin terpaksa berpindah semula sekiranya berlaku gelombang banjir ketiga.

Sekiranya hujan lebat berterusan, daerah-daerah yang ketika ini masih dilanda banjir termenung seperti di Tumpat; Pasir Mas dan Rantau Panjang ekoran hujan lebat gelombang pertama hujung bulan lalu berisiko berpindah semula ke PPS.

Sementara itu, penyelaras  PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong, Tumpat, Che Mohamad Abd. Razak berkata, pihaknya juga sudah bersiap sedia menerima semula mangsa-mangsa banjir untuk berpindah ke PPS terbabit sekiranya banjir sekali lagi melanda daerah terbabit.

Penyelaras PPS, Muhammad Abdul Razak bercakap ketika ditemubual di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Kedai Tanjung, Pasir Mas, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2024

Menurut beliau, ketika ini juga, masih terdapat kira-kira 200 penduduk daripada hampir 70 buah keluarga dari enam buah kampung di sekitar daerah terbabit yang masih berteduh di PPS berkenaan.

Ujarnya, ketika gelombang banjir pertama pada hujung lalu, PPS SK Kedai Tanjong itu menempatkan lebih 800 penduduk yang terjejas yang ditempatkan di tiga buah blok bangunan tiga tingkat sekolah terbabit.

“Penduduk yang masih tinggal di PPS ini disebabkan ada yang tidak dapat pulang ke rumah kerana terputusan hubungan selain ada yang rumah mereka masih ditenggelami banjir termenung.

“Saya jangkakan sekiranya gelombang ketiga banjir berlaku, jumlah penduduk yang berpindah ke PPS ini akan bertambah semula dan kita bersiap sedia menerima kehadiran mereka,” katanya.

Tambah Che Mohamad, pihaknya juga tidak berdepan masalah sekiranya jumlah mangsa banjir bertambah semula kerana stok bekalan makanan seperti beras dan sebagainya masih mencukupi.

Ini kerana, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa mendapatkan maklumat terkini berhubung jumlah mangsa banjir di PPS itu supaya bekalan makanan dan keperluan asas dapat dibekalkan secukupnya.

Antara mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Kedai Tanjung ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pasir Mas, Kelantan. Foto SADIQ SANI, 06 DISEMBER 2024

“Selain itu, pelbagai pihak luar seperti sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga tidak putus-putus menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sini, jadi tidak timbul isu ada penduduk yang terjejas banjir terpinggir daripada mendapatkan bantuan,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkemungkinan berdepan hujan lebat berterusan berserta angin kencang yang sekali gus membawa kepada banjir gelombang ketiga.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan tersebut dijangka bermula hari ini hingga 14 Disember ini ekoran kehadiran luruan monsun bagi tempoh itu.

Menurut Mohd. Hisham, kehadiran luruan monsun pada tempoh tersebut dijangka tidak sekuat gelombang kedua yang berakhir 30 November lalu.

Bagaimanapun katanya, situasi banjir di negeri Kelantan dan Terengganu yang belum surut sepenuhnya, keadaan tanah tepu di kawasan terlibat serta turunan hujan semasa luruan pada tempoh akan datang boleh menyebabkan bencana alam itu berlaku lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast