KUALA LUMPUR – Jenama coklat tempatan, Choco Albab optimis terus bersaing dengan produk sedia ada di pasaran seterusnya menetapkan misi menjadi coklat pilihan nombor satu dalam negara.
Sempena ulang tahun ketiga jenama tersebut baru-baru ini, pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi mengumumkan sasaran jualan sebanyak RM80 juta pada tahun depan.
Beliau yakin jumlah tersebut tidak mustahil tercapai berdasarkan prestasi strategi jualan yang digunakan selain menambah ejen jualan di dalam negara serta Singapura bermula 2025.
“Ia disokong oleh sejarah sebelum ini, tahun pertama sebelum ini pernah jual RM8 juta tahun, tahun kedua RM29 juta tahun ketiga RM50 juta walaupun tidak habis tahun 2024 lagi.
“Kita lihat graf dan penambahan produk penambahan ejen juga. Kempen untuk jana pendapatan itu sangat kuat jadi bila ejen bertambah jualan juga akan bertambah,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ketiga jenama itu baru-baru ini.
Menurut beliau, sehingga kini Choco Albab mempunyai lebih kurang 70,000 ejen berdaftar di bawahnya.
Said Saiful meletakkan sasaran untuk memasarkan produk coklat jenama tempatan itu tiga buah negara iaitu Indonesia, Thailand dan Filipin dalam masa dua tahun.
Misi Choco Albab adalah untuk mengubah persepsi bahawa produk coklat premium hanya datang daripada luar negara sekali gus membuktikan kehebatan produk tempatan.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Saudagar Asia Sdn Bhd selain itu berkata, visi Choco Albab pula adalah dapat membawa limpahan ekonomi bukan sahaja kepada syarikat tetapi negara dan masyarakat.
Dalam majlis yang sama, Choco Albab turut memperkenalkan produk baharu, Choco Albab Hazelnut Spread.- MalaysiaGazette