Zahidi Zainul Abidin (kanan) menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang akhbar mengisytiharkan dirinya menyertai PKR di Padang Besar, Perlis.

PADANG BESAR – Bekas Ahli Parlimen Padang Besar yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengisytiharkan secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada masa sama, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia juga mengumumkan penubuhan 400 cawangan PKR di seluruh Perlis.

“Hari ini secara rasmi saya isytiharkan diri menyertai PKR dan pada masa yang sama menubuhkan 400 cawangan PKR di seluruh Perlis,” katanya pada sidang akhbar selepas program Himpunan Madani Padang Besar di sini hari ini.

Lebih 400 orang menghadiri perhimpunan itu yang turut dihadiri Datuk Romli Ishak yang merupakan Setiausaha Politik Kanan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahidi berkata, langkahnya menyertai PKR dan menubuhkan 400 cawangan PKR itu telah mendapat restu daripada Anwar.

Menurutnya, dengan penubuhan 400 cawangan PKR itu, beberapa ketua cawangan akan dilantik termasuk dalam kalangan mereka yang menghadiri perhimpunan hari ini.

“Saya pilih PKR kerana saya mempunyai hubungan baik dengan ketua-ketua UMNO bahagian dan cawangan di negeri ini.

“Saya rasa lebih baik menyertai PKR kerana jika saya ditawarkan balik semula kepada UMNO, nanti ada kalangan rakan-rakan rapat dalam UMNO yang terpaksa melepaskan jawatan semata-mata mahu memberi laluan kepada saya.

“Jika saya berada dalam PKR, saya masih boleh meneruskan kerjasama antara PKR dan UMNO. Sekarang pun PKR dan UMNO mempunyai hubungan yang rapat dan bekerjasama dalam PH,” katanya.

Zahidi berkata, penyertaannya dalam PKR janganlah dikaitkan dengan isu-isu kaum atau bangsa.

“Saya lihat dan setelah fikir panjang, saya dapati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membela semua kaum dan bangsa tanpa mengira kedudukan,” katanya.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, jika negeri Perlis benar-benar hendak maju termasuk rakyatnya mempunyai pekerjaan dan pendapatan seperti negeri-negeri lain, maka kerajaan negeri memerlukan sokongan serta bantuan daripada kerajaan pusat.

“Sebab itu kita tubuhkan 400 cawangan PKR agar kita bukan sahaja boleh bekerjasama dengan UMNO, malah merampas negeri Perlis dari Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.

“Penubuhan 400 cawangan ini sebagai langkah permulaan untuk merampas kepemimpinan sedia ada.

“Rakyat perlu sedar bahawa dengan hanya kerjasama dan bantuan dari kerajaan pusat, barulah Perlis boleh maju dan pelaburan dibawa masuk ke negeri ini termasuk pekerjaan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. KITA UCAP TAHNIAH TAPI KITA YAKIN PKR DI PERLIS TAK KEMANA AKAN LENYAP DENGAN SENDIRI KECUALI UMNO MASIH KUKUH WALAU APAPUN BERLAKU

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here