TUMPAT – Seorang pengusaha keropok keping di sini buntu memikirkan masa depannya dan keluarga selepas perniagaan yang diusahakannya sejak kira-kira 20 tahun lalu musnah dilanda banjir hujung bulan lalu.
Usahawan terbabit, Mohd. Nazre Talib, 59, yang lebih dikenali sebagai Abe Yie dalam kalangan penduduk setempat turut resah memikirkan bagaimana untuk bangkit dan dan berniaga semula selepas semua peralatan di dalam kilang keropoknya rosak.
Menurut Mohd. Nazre, dia menanggung kerugian kira-kira RM50,000 selepas kilang keropoknya yang terletak di Kampung Geting di sini, ditenggelami banjir separas dada ketika gelombang pertama banjir berlaku di daerah ini.
Malah, katanya, kira-kira 200 kilogram keropok keping yang sudah siap dibungkus dan menunggu masa untuk dihantar kepada pelanggannya juga musnah ditenggelami banjir.
Tambahnya, dia tidak sempat menyelamatkan perkakasan di dalam kilangnya seperti mesin dan bahan mentah untuk menghasilkan keropok keping disebabkan air naik mendadak, selain arus banjir yang terlalu kuat.
“Terdapat tiga buah mesin menghasilkan keropok rosak terkena air dan mesin ini sebenarnya dibuat khas, tidak dijual di mana-mana kedai, jadi kos untuk membaikinya sangat tinggi.
“Selain itu, dua buah dapur yang digunakan untuk memasak bahan mentah bagi menghasilkan keropok juga musnah dan perlu diganti baharu yang kosnya juga agak mahal.
“Sepanjang 20 tahun mengusahakan perniagaan ini, inilah kali pertama kejadian banjir yang menenggelamkan kilang saya sehingga mencecah paras dada,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.
Mohd. Nazre yang juga bapa kepada empat anak itu berkata, selain resah memikirkan masa depannya dan keluarga yang kini hilang mata pencarian utama, dia juga bimbang memikirkan nasib empat pekerjanya yang kini turut hilang sumber pendapatan.
Sehubungan itu, dia berharap terdapat mana-mana pihak khususnya Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan kepadanya supaya dapat memulakan kembali perusahaan keropok kepingnya.
“Saya juga sangat berharap sekiranya ada mana-mana pihak dapat membantu saya membaiki tiga mesin menghasilkan keropok keping yang rosak sebab kosnya terlalu tinggi dan di luar kemampuan saya ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette