Seorang suri rumah, Norsaqila Rahmat, 32, mengaku salah selepas di Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas pertuduhan mendera anak kandungnya yang berusia 10 tahun bulan lalu

KLUANG – “Saya menyesal dengan semua yang saya lakukan. Saya hilang iman sebab itu saya jadi macam itu. Anak-anak saya masih kecil berusia 10, 6, dan 4 tahun dan paling kecil berusia setahun.

“Saya daripada keluarga susah. Saya tidak bekerja. Saya janji tidak ulang lagi dan akan jaga dengan lebih baik selepas ini,” demikian rayuan seorang suri rumah sambil menangis semasa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak kandungnya, bulan lalu.

Tertuduh, Nursaqilah Rahmat, 32, menjawab faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan mendera anak perempuannya yang berusia 10 tahun selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian tubuh.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah nombor 25 Kanan, Lorong Md Sari, Kampung Tengah di sini pada 24 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta yang sama, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM50,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, seorang guru membuat laporan polis pada 28 November lalu setelah mendapati kesan melecur di bahagian belakang kanak-kanak tersebut sebelum dihantar ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom (HEBHK) di sini.

Tertuduh kemudian ditahan sebelum menyerahkan bahan bukti iaitu penyangkut baju dan satu jak plastik kepada pihak polis.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli kemudian memohon mahkamah untuk memberikan hukuman setimpal atas kepentingan awam dan bukan berlandaskan kepentingan tertuduh.

Terutuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM8,000, jika gagal membayar Nursaqilah berdepan hukuman penjara empat tahun, selain diperintah bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 60 jam bermula hari ini.

Terdahulu portal ini melaporkan seorang wanita ditahan polis pada 2 Disember lalu selepas menerima laporan  seorang kanak-kanak perempuan didera oleh seorang guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah di sini pada 28 November lalu.

Melalui laporan itu, murid Perempuan berkenaan telah di simbah air panas sehingga mendatangkan kesan melecur yang teruk di bahagian belakang badan.

Pengadu juga memaklumkan telah membuat pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa dan mendapati satu kesan lebam di kaki kanan, kesan lecuran di kaki kiri dan kesan di tumbuk di pipi kiri sehingga lebam.

Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan terpaksa dirawat di HEBHK – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast