BRUSSELS – Tahun 2024 mencatatkan suhu panas luar biasa tinggi dan dijangka berterusan sekurang-kurangnya selama beberapa bulan pertama tahun 2025.
Saintis Kesatuan Eropah (EU) mengesahkan perkara tersebut dan menyatakan fenomena pemanasan global yang semakin teruk masih berterusan dan memberi impak besar kepada keadaan cuaca dunia.
Menurut penyelidik iklim dari Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (C3S), Julien Nicolas, data menunjukkan suhu global telah melebihi 1.5 darjah selsius berbanding pada zaman pra-industri tahun 1850 hingga tahun 1900.
“Tahun 2024 adalah tahun pertama dalam sejarah yang mencapai paras suhu tersebut walaupun tahun 2023 pernah memegang rekod sebagai tahun paling panas tetapi telah dikalahkan oleh tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Julien Nicolas memaklumkan, data yang diperoleh juga menunjukkan cuaca ekstrem telah melanda seluruh dunia pada tahun 2024 dengan kemarau teruk melanda Itali dan Amerika Selatan, banjir maut di Nepal, Sudan dan Eropah, gelombang panas di Mexico, Mali dan Arab Saudi yang telah menyebabkan ribuan kematian serta taufan bencana di Amerika Syarikat dan Filipina.
“Kajian saintifik telah mengesahkan perubahan iklim yang disebabkan oleh aktiviti manusia menjadi punca utama kepada bencana-bencana cuaca ini.
“Fenomena seperti taufan dan kebakaran hutan yang semakin sering berlaku kini dilihat sebagai akibat langsung daripada pemanasan global yang berpunca daripada emisi gas rumah hijau terutamanya karbon dioksida yang dikeluarkan oleh pembakaran bahan bakar fosil,” ujarnya.
Menurutnya, banyak kerajaan di seluruh dunia berjanji untuk mencapai emisi sifar bersih dalam usaha mengekang pemanasan global namun emisi karbon dioksida (CO2) global tahun ini dijangka mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah.
Tanpa pengurangan signifikan dalam pembakaran bahan bakar fosil, perubahan iklim akan terus memberi impak buruk kepada seluruh dunia.
“Meskipun ada potensi penurunan suhu sementara, kita masih akan terus berdepan dengan suhu tinggi dan cuaca ekstrem yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan global.
“Dunia kini berada dalam fasa neutral selepas fenomena El Nino berakhir awal tahun ini namun ancaman perubahan iklim yang lebih buruk tetap menunggu jika langkah pemulihan yang lebih tegas tidak diambil segera,” katanya. – Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast