JOHOR BAHRU – Polis menahan 203 individu atas pelbagai kesalahan dalam Op Noda Khas yang dilancarkan bermula Jumaat lalu hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, operasi itu mensasarkan pembanterasan aktiviti pelacuran, wanita pelayan pelanggan (GRO) dan elemen kongsi gelap di premis pusat hiburan.
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak enam pusat hiburan di sekitar daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri dan Seri Alam diserbu.
“Hasil serbuan yang dijalankan berjaya menangkap seramai 189 orang iaitu 11 lelaki warga tempatan, seorang wanita tempatan, 16 lelaki warga asing dan 161 wanita warga asing berusia antara 18 tahun hingga 63 tahun atas pelbagai kesalahan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pelanggan mendapati 16 orang lelaki tempatan dan 12 wanita warga asing positif dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, pelbagai peralatan seperti telefon bimbit, resit bayaran, mikrofon, speaker, mixer, TV, MP3 dan DVD player, amplifier, alat kawasan jauh, kain selempang dan wang tunai berjumlah RM2,510 dirampas untuk tujuan siasatan.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan, polis menahan 14 individu terdiri dari enam lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga asing dan enam wanita warga asing kerana bermain judi.
Menurutnya, polis merampas wang tunai sebanyak RM83,100 termasuk peralatan bermain judi.
Beliau berkata, senua kes disiasat bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 iaitu beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah dan Seksyen 11(2) enakmen sama kerana melanggar mana-mana syarat lesen hiburan atau sekatan yang telah ditetapkan.
“Kita turut menyiasat mereka menggunakan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 iaitu mengambil pekerja satu atau lebih orang, selain daripada warganegara atau pemegang permit masuk yang tidak memiliki suatu pas yang sah.
“Selain itu, siasatan dibuat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sosial; Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu berjudi dalam suatu rumah perjudian terbuka dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu menggunakan dadah,” katanya.
Kumar berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan diri yang sah berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(C) akta sama kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.
Pada masa sama, Kumar berkata, bermula Januari lalu hingga semalam, sebanyak 388 serbuan di pusat hiburan di seluruh negeri ini dilancarkan dengan penahanan seramai 1,910 orang iaitu 211 warga tempatan dan 1,699 warga asing yang terbabit dengan pelbagai kesalahan di dalam pusat hiburan yang diserbu.
“Kita tidak akan berkompromi dan sentiasa komited dalam menangani isu membabitkan keselamatan, ketenteraman awam, selain menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat di negeri ini khususnya.
“Premis yang terlibat dengan pelanggaran syarat lesen premis, tindakan pembatalan lesen akan diambil melalui kolaborasi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT),” tegasnya.- MalaysiaGazette