KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menyusun semula penjaja di ibu kota termasuk pemegang lesen KL Madani bagi memastikan mereka dapat berniaga secara sah di tapak gerai yang lebih formal dan berstruktur melalui Program Lestari Niaga.
Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berkata, sepanjang tahun 2023 dan 2024, program berkenaan telah memberi manfaat kepada 2,621 peniaga dan penjaja kecil melalui pelaksanaan 83 projek di 76 lokasi gerai makanan dan pasar.
Katanya, Program Lestari Niaga akan diteruskan bagi tahun 2025 dengan cadangan pelaksanaan 20 projek yang dianggarkan akan melibatkan 1,300 penjaja.
“Kita perlu akui penjaja memainkan peranan penting dalam menyediakan produk, khususnya makanan siap masak pada harga yang lebih mampu milik kepada warga kota.
“Namun begitu, saya juga mengambil maklum akan aduan daripada sesetengah komuniti yang terjejas akibat kacau ganggu daripada aktiviti penjaja, terutamanya penjaja tanpa lesen.
“Sehubungan itu, DBKL akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan garis panduan dan kesejahteraan awam tetap terjaga.
“Penjaja yang masih beroperasi di bahu jalan dan kaki lima perlu dipindahkan melalui Program Lestari Niaga kerana tidak semua kawasan di Kuala Lumpur adalah sesuai untuk aktiviti penjaja,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab peratnya Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini Lesen KL Madani yang telah dikeluarkan oleh DBKL dan adakah lesen-lesen ini masih aktif serta berapa jumlah keseluruhan lesen yang telah dikeluarkan setakat ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, berdasarkan rekod, jumlah lesen yang telah dikeluarkan di bawah KL Prihatin adalah sebanyak 4,328.
Bagaimanpun katanya, setelah pandemik berakhir, jumlah terkini pemegang lesen yang masih aktif dan telah memperbaharui lesen atas jenama KL Madani adalah seramai 433 orang sahaja iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah lesen asal.
“Penjaja-penjaja ini akan dipantau supaya tidak menyebabkan perkara-perkara seperti menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat berniaga di lokasi yang tidak sesuai, menjaga kebersihan bandar agar tidak terjejas akibat ketidakpatuhan pematuhan penjaja terhadap garis panduan dan menjaga persaingan ruang awam antara penjaja dan pengguna lain seperti pejalan kaki di kawasan siar kaki atau kaki lima,” tambahnya. – MalaysiaGazette