Asisten Komisioner Tan Seng Lee

KULAI – Seorang warga emas diperdaya RM873,000 selepas mencuba nasib dalam pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan keuntungan sehingga 30 peratus dalam masa singkat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki tempatan berusia 65 tahun berhubung kejadian itu semalam.

“Mangsa yang merupakan pesara berminat membuat pelaburan selepas dijanjikan keuntungan 10 peratus hingga 30 peratus dalam tempoh tiga hari.

“Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi pelaburan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tertarik dengan keuntungan dijanjikan mangsa membuat 19 transaksi pembayaran berjumlah RM873,000 ke dalam tujuh akaun bank tempatan bermula 18 Oktober hingga 27 November lalu.

Menurut Seng Lee, mangsa membuat semakan akaun dalam aplikasi pelaburan miliknya dan mendapati keuntungan yang dipaparkan sebanyak RM2.35 juta.

Beliau berkata, mangsa mahu membuat pengeluaran wang dari aplikasi pelaburan miliknya namun telah disekat.

“Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis berhubung kejadian ini,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here