Kerja-kerja penyelenggaraan laluan tren sedang dijalankan di Laluan Timur-Barat (EWL).

SINGAPURA – Kerja-kerja baik pulih perkhidmatan tren di Laluan Timur-Barat (EWL) yang tergendala sejak Sabtu lalu kini telah mencapai kemajuan 40 peratus.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura menjangkakan perkhidmatan tren akan kembali beroperasi sepenuhnya pada hari Rabu.

Menurut Pengarah Kumpulan Rel (Elektrik dan Mekanikal) LTA, Chia Choon Poh, seramai 100 jurutera dan kontraktor LTA terlibat bersama Pengangkutan Gerak Cepat Singapura (SMRT) telah bekerja tanpa henti sejak awal pagi Sabtu.

“Kerja-kerja ini melibatkan persimpangan yang menghubungkan rel baharu dari Depoh Bersepadu East Coast (ECID) yang akan datang ke rel sedia ada di EWL.

“Setakat ini, kami telah menanggalkan rel sedia ada, peralatan sisi landasan sedia ada, serta memasang ballast baharu dan rel baharu di persimpangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan agensi, kerja-kerja di jejambat Tanah Merah yang terletak agak jauh dari ECID sedang dilakukan.

Mengulas lanjut, Choon Poh berkata,  pekerja masih memasang peralatan sisi landasan, termasuk pemasangan rel ketiga, peralatan isyarat, dan kabel bekalan kuasa.

“Semua kerja-kerja tersebut sedang berjalan mengikut jadual yang dirancang dan berharap EWL dapat beroperasi semula tepat pada masanya sekali gus meminimumkan gangguan kepada penumpang,” ujarnya.

Menurut beliau, sebanyak 55 bas ulang-alik dua tingkat telah disediakan sepanjang tempoh gangguan untuk penumpang yang melalui laluan Tanah Merah ke Tampines, selain menyediakan tempat teduh untuk keselesaan penumpang yang menunggu.

“Kami komited menyelesaikan kerja ini dengan segera sambil memastikan keselamatan dan kualiti kerja terjamin,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here