ISKANDAR PUTERI – Ketiadaan pemain utama Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue dan Haqimi Azim Rosli dilihat menjejaskan persembahan pasukan apabila tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super, di sini malam tadi.
Pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac berkata, kekurangan pilihan pemain di bangku simpanan yang mampu mengisi kekosongan itu juga memberi kesan lebih-lebih lagi lawan mereka adalah juara Liga Super 10 musim berturut-turut yang bermain di hadapan ribuan penyokong di laman sendiri.
Beliau akui pertemuan malam tadi sukar kerana Josue dan Haqimi yang merupakan tonggak utama pasukan tidak beraksi sedangkan mereka sebelum ini bermain hampir semua perlawanan pada musim ini dengan menjaringkan 16 gol secara keseluruhan.
“Tambahan pula, kami kekurangan pilihan pemain di bangku simpanan bagi mengisi kekosongan itu. Jadi, bagi kelab kecil seperti kami, terpaksa menggunakan pemain yang ada bagi berdepan kelab yang mendominasi liga ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
Untuk rekod, Josue dan Haqimi masing-masing dipanggil untuk memperkuatkan kem Harimau Malaya bagi kejohanan Piala Asean dan masing-masing berada dalam senarai kesebelasan utama dalam perlawanan pertama menentang Kemboja yang berkesudahan 2-2, malam tadi.
Mengulas lanjut, Kuljanac berkata, KL City turun dengan gaya permainan bertahan kerana sudah menjangkakan pasukan tuan rumah akan memberikan tekanan kepada benteng pertahanan.
“Kami cuba menutup ruang buat mereka daripada memasuki kotak penalti dengan bermain secara kompak di kawasan sendiri. Bagaimanapun, mereka berjaya mencipta jaringan menerusi percubaan dari luar kotak penalti dan gagal diselamatkan penjaga gol.
“Tidak ada apa yang boleh diperkatakan kepada pemain kerana mereka sudah melakukan yang terbaik. Mereka tetap berjuang dan menyerang dan berjaya mencipta peluang keemasan bagi mencipta jaringan,” katanya.
Katanya, dilema yang dilalui KL City akan bertambah parah setelah kehilangan lagi dua pemain bagi menyertai Piala Asean yang sedang berlangsung ketika ini.
“Situasi akan bertambah parah buat kami apabila Declan Lambert akan menyertai skuad kebangsaan manakala Patrick Reichelt akan bersama skuad kebangsaan Filipina. Tambahan pula, Adrijan Rudovic turut digantung satu perlawanan.
“Bukan mudah untuk kami mencari solusi bagi situasi ini, lebih-lebih lagi akan berdepan tiga perlawanan sukar, dua daripadanya menentang JDT bagi aksi suku akhir Piala Malaysia,” ujarnya.- MalaysiaGazette