Muhammad Adzmin didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas ini atas enam pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM10,700

JOHOR BAHRU – Seorang Pegawai Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM10,700 dua tahun lalu.

Muhammad Adzmin Zolkepli, 32, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan selepas dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Laskar Kanan Maritim yang bertugas di Ibu Pejabat APMM Kedah dan Perlis bersetuju menerima  wang tunai  antara RM1,200 hingga RM2,300 dengan tiada balasan daripada pemilik syarikat bekalan marin ke akaun orang tengah yang sama ke akaun milik tertuduh yang diketahui  tertuduh bahawa pemilik berkenaan ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di daerah Segamat, Johor antara bulan Februari 2022 hingga Oktober tahun yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan memperuntuk hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd Muntaqim Abdul Aziz.

Abd Muntaqim dalam hujahnya memohon jaminan sebanyak RM20,000 bagi enam pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.

Ia termasuk syarat tambahan iaitu serahan pasport kepada mahkamah, lapor diri pada minggu pertama sebulan sekali di Pejabat SPRM Sandakan, Sabah dan larangan mengganggu saksi.

Peguam yang mewakili tertuduh Mohd Norazam Majid bagaimanapun merayu agar mengenakan jaminan paling minimum dengan mencadangkan RM5,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mohd Norazam memaklumkan tertuduh masih lagi bertugas sebagai Laskar Kanan di APMM Sandakan, Sabah dengan gaji bersih RM1,700.

“Dia mempunyai lima tanggungan iaitu menyara isteri yang tidak bekerja, anak berusia dua bulan, ibu dan bapa berusia 65 tahun dan nenek berumur 85 tahun,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan RM7,000 jaminan bagi enam pertuduhan dan 7 Februari 2025 ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here