KUALA LUMPUR – Pelabur asing terus menjual di Bursa Malaysia untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan aliran keluar berjumlah RM761.4 juta, membawa kepada aliran keluar seminggu kedua tertinggi dalam tempoh lima minggu lalu.
Setiap hari dagangan mengalami aliran keluar asing bersih dengan jumlah terbesar pada hari Isnin sebanyak RM248.8 juta, diikuti hari Selasa (RM218.6 juta), Jumaat (RM143.9 juta), Khamis (RM121.6 juta) dan Rabu (RM28.5 juta), kata MIDF Investment.
Tiga sektor teratas yang menyaksikan aktiviti belian bersih oleh pelabur asing ialah penjagaan kesihatan (RM238.0 juta), Perladangan (RM93.1 juta), dan produk & perkhidmatan perindustrian (RM72.8 juta).
Manakala tiga sektor teratas yang menyaksikan aktiviti jualan bersih oleh pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM594.1 juta), Utiliti (RM475.9 juta), dan pengangkutan & logistik (RM53.8 juta).
Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi tempatan sekali lagi menjadi penyokong utama bursa tempatan dengan aliran masuk RM1.06 bilion.
Tiada aliran keluar sepanjang minggu daripada kelas pelabur ini, dengan hari Isnin dan Selasa menyaksikan aliran masuk tertinggi pada RM245.6 juta dan RM284.1j masing-masing.
Peruncit tempatan pua masih kekal sebagai penjual bersih minggu lepas, dengan aliran keluar berjumlah RM299.9 juta, hampir 30 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.
Setiap hari menyaksikan aliran keluar daripada kumpulan pelabur ini, kecuali Isnin, yang mencatatkan aliran masuk RM3.2 juta.
Aliran keluar paling ketara pada hari Rabu, berjumlah RM125.7 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan pengurangan merentas semua kategori pelabur kecuali pelabur runcit tempatan.
Pelabur asing dan pelabur institusi tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 25.7% dan 6.6%, manakala pelabur runcit tempatan menyaksikan kenaikan 8.9%. MalaysiaGazette