Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap kepada media ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang menyanggah cadangan untuk memasukkan Seksyen 248 (A) Akta Komunikasi dan Multimedia yang menetapkan pemeriksaan dan penyitaan boleh dilakukan meskipun waran geledah yang diterima cacat.

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, jika pindaan tersebut diluluskan adalah lebih baik waran geledah tidak diperlukan langsung.

“Realitinya, walaupun ada huraian tetapi, ruang untuk salah guna kuasa masih ada dan Seksyen 248, waran yang cacat pun boleh diterima.

“Kalau macam ini, saya tak tahulah kalau peguam-peguam yang ada dalam Dewan ini, apa pandangan (mereka kalau) waran yang cacat pun boleh diterima?

“Baik kita buat peraturan tak payah langsung ada waran kalau yang cacat pun boleh diterima,” katanya pada sesi perbahasan RUU Komunikasi dan Multimedia (pindaan 2024) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu hari ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika membentangkan RUU Komunikasi dan Multimedia (pindaan 2024) berkata, Seksyen 248 dipinda dengan memasukkan Seksyen 248 (A) iaitu waran boleh diterima walaupun cacat.

“Suatu waran geledah yang dikeluarkan di bawah akta ini adalah sah dan boleh dikuatkuasakan walau apa pun apa-apa kecacatan, kesilapan atau peninggalan dalam waran geledah itu atau dalam permohonan bagi waran itu dan apa-apa buku, akaun, dokumen, data berkomputer, rekod atau benda lain yang disita di bawah waran itu boleh diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Saiful mengakui banyak perkara baik dalam pindaan RUU berkenaan, namun terdapat perkara yang memperlihatkan kerajaan sedaya upaya mahu menafikan hak rakyat di negara ini.

“Saya juga dapat banyak input daripada NGO dan syarikat yang terbabit dan mungkin ada impak daripada pindaan ini.

“Ada di kalangan syarikat yang terbabit yang takut-takut untuk berkongsi pandangan dengan kita di sebelah sini (pembangkang) kerana bimbang kalau kena tindakan oleh pihak kerajaan.

“Nak bercakap dengan pembangkang pun suasananya dah takut sekarang, cuba bayangkan sekiranya pindaan ini diluluskan seperti mana yang sedia ada,” ujarnya.

Beliau mahu kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan dan pindaan RUU tersebut.

“Janji nak mansuh, tolonglah mansuhkan supaya kerajaan ini tidak berterusan membohongi rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here