KULAI – Seorang duda didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh jiranya, seorang warga emas di Taman Bahagia, Senai di sini bulan lalu.
Jurubahasa mahkamah terpaksa membaca pertuduhan tiga kali selepas tertuduh, Chua Yun Cheng, 34, mendakwa tidak faham dengan pertuduhan yag dibacakan.
“Apa tu? Saya tidak faham,” kata Yun Cheng, yang juga seorang penganggur selepas pertuduhan bunuh terhadapnya dibacakan.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Chin Lin Fook, 67, di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Murni, Taman Bahagia, Senai di sini, pada pukul 12.43 tengah malam, 27 November lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Januari depan bagi serahan laporan kimia, bedah siasat serta forensik dan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.
Pada 30 November lalu, polis menerima maklumat penemuan mayat seorang warga emas yang tinggal berseorangan di sebuah rumah dengan kesan tikaman dan terbaring berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan tikaman dipercayai menggunakan objek tajam.
Bertindak atas maklumat, pada 3 Disember lalu, pihaknya berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki di rumahnya di Senai di sini.
“Polis turut berjaya merampas sebilah pisau yang disyaki digunakan ketika kejadian. Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara lelaki itu dengan mangsa,” katanya.
Lelaki warga tempatan itu direman tujuh hari sebelum dituduh di mahkamah, hari ini.-MalaysiaGazette