GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk di Felda Chiku 7 dan Chiku 8 di sini, terputus hubungan selepas laluan utama yang menghubungkan kedua-dua tanah rancangan itu ditenggelami banjir.
Selain itu, seramai 184 penduduk daripada 40 buah keluarga di Felda Chiku 7 juga menjadi mangsa pertama yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Semai Bakti, di sini, selepas rumah mereka dinaiki air.
Setakat petang ini, keadaan banjir masih tidak banyak berubah meskipun hujan sudah reda dan penduduk tempatan serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa menaiki sampan untuk memasuki kedua-dua tanah rancangan berkenaan.
Menurut Penghulu Felda Chiku 7, Razali Awang, 64, kawasan berkenaan mula dinaiki air kira-kira pukul 6 pagi tadi berikutan hujan lebat sejak petang ssmalam yang berterusan sehingga ke tengah malam tadi.
Katanya, Felda Chiku 7 menempatkan seramai 184 buah keluarga dan kebanyakan rumah penduduk yang terjejas banjir ketika ini terletak berdekatan Sungai Chiku disebabkan air sungai itu yang mula melimpah.
“Bagaimanapun, kesemua penduduk di Felda Chiku 7 ketika ini berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana walaupun hujan sudah berhenti, tetapi kami bimbang sekiranya air sungai terus melimpah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Felda Chiku 7, Mohd Zawawi Sidek, 42, berkata, dia dan keluarganya kini sudah berpindah ke PPS Dewan Semai Bakti selepas rumahnya mula dinaiki air awal pagi tadi.
“Buat masa ini air tidak terlalu tinggi, tetapi kami tetap berwaspada kerana bimbang banjir buruk seperti tahun 2014 berulang memandangkan hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zawawi merayu pihak berwajib khususnya pengurusan Felda mencari jalan bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku di kampung itu saban tahun sehingga menyusahkan penduduk.
“Sejak tinggal di sini sekitar 90-an sampailah sekarang, masalah banjir yang menenggelamkan rumah dan jalan utama di kawasan ini tidak pernah selesai.
“Ia menyusahkan penduduk sebab kami tidak dapat pergi bekerja, anak-anak tidak dapat bersekolah dan peneroka juga tidak dapat menjual hasil mereka,” katanya. – MalaysiaGazette