Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) sempena Kejohanan Bolasepak Liga Perak Sejahtera 2024/2025 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, pada Isnin. Turut sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah (kiri). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 DISEMBER 2024.

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mencadangkan supaya Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kembali menguruskan pasukan bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Beliau berharap PAFA dapat menggalas tanggungjawab tersebut untuk memilih dan melatih pemain terbaik bagi berentap pada acara sukan dwi tahunan yang bakal berlangsung di Selangor.

“Pada tahun 2026, akan berlangsung SUKMA di Selangor. Jadi, kita bagi PAFA bertanggungjawab untuk melatih pasukan bola sepak SUKMA.

“Apa kata tahun depan sementara nak memilih pasukan yang hebat untuk SUKMA, bagi PAFA mencari bakat, menggilap bakat, melatih letak (pasukan bola sepak) pada tempat yang baik.

“Dengan itu kalau menang emas dalam SUKMA, bukankah hebat pasukan PAFA era baru dalam negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Kejohanan Bolasepak Liga Perak Sejahtera 2024/2025 di Hotel Casuarina@Meru, di sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Kharudin Abu Hanipah dan Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.

Sementara itu, Khairudin ketika ditemui pada sidang media selepas majlis tersebut menyambut baik cadangan dikemukakan Saarani.

“SUKMA adalah salah satu program pembangunan jangka panjang dalam sukan dan kita akan melihat bahawa jika ada keperluan untuk memberikan amanah dan tanggungjawab kepada PAFA.

“Kita akan bawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri sebab jawatankuasa ini yang akan memutuskan berkaitan dengan cadangan supaya PAFA diberi amanah dan tanggungjawab untuk mengendalikan persiapan pasukan Sukma 2026 nanti di Selangor, InsyaALLAH.

“Cuma kita juga mengharapkan PAFA bukan setakat menyediakan pasukan SUKMA sahaja tetapi perlu beri tumpuan kepada pasukan bawah umur 16, 18, 20 supaya proses pembangunan itu berpanjangan,” jelasnya.

Sebelum ini, pada temasya SUKMA di Sarawak, pasukan bola sepak Perak mendapat khidmat daripada Perak FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast