Sebahagian daripada 54 tabung derma yang dirampas dalam sebuah kereta digunakan pasangan kekasih berkenaan.

MELAKA – Tindakan keji pasangan kekasih yang aktif melakukan jenayah curi tabung derma madrasah dan rumah anak yatim di kedai runcit dan premis makanan di tiga buah negeri terbongkar apabila diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun berasal dari Sungai Rambai, di sini dan kekasihnya, 35, dari Batu Pahat, Johor ditahan di sebuah kondominium di Klebang kira-kira jam 12.10 pagi 4 Disember lalu.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan Balai Polis Tengkera.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai 54 tabung melibatkan kerugian keseluruhannya berjumlah hampir RM11,000 yang dipercayai dilarikan dari kedai runcit dan premis makanan sekitar Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Modus operandi digunakan adalah suspek akan ke premis berkenaan dan berpura-pura sebagai wakil dari pihak madrasah, sekolah pondok atau rumah anak-anak yatim sebelum mengambil tabung terbabit.

“Dengan cara pemerdayaan ini, kedua-dua suspek yang aktif sejak dua tahun lalu berjaya memperoleh sekitar RM250 sehari,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Suspek lelaki berusia 33 tahun berasal dari Sungai Rambai, Melaka.

Mengulas lanjut Christopher berkata, dalam serbuan itu polis turut menjumpai satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun hijau disyaki ganja dengan berat kasar kira-kira lapan gram.

“Siasatan awal mendapati, pasangan itu mengaku aktif di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sering berpindah randah dengan menyewa inap desa bagi mengelak jenayah dikesan pihak berkuasa.

“Kedua-dua suspek yang mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah dikesan baru bergerak aktif di Melaka sejak kira-kira dua bulan lalu,” katanya.

Suspek wanita berusia 35 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor.

Tambahnya, polis membuka empat kertas siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Polis turut membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast