KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan membuat pendirian bahawa perdana menteri tidak boleh mengulas lanjut mengenai isu titah adendum yang berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 kerana ia melibatkan Yang di-Pertuan Agong.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tertakluk kepada undang-undang kerana Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Saya nak tanya, boleh atau tidak seorang perdana menteri ulas keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam Lembaga Pengampunan, jawabnya tidak boleh.
“Mengapa menteri-menteri jawab begitu, kita rujuk kepada Jemaah Menteri dan kita beri keputusan sehingga kes ini dimuktamadkan dan sehingga Yang di-Pertuan Agong perkenan, tidak boleh kita sentuh.
“Ini adalah keputusan Lembaga Pengampunan, nak jadikan bahan politik mengaibkan bagi saya. Saya nak bagi tahu tentang kepura-puraan itu, kerana kecaman kepada Najib itu memang jauh lebih besar, atas nama individu dan parti,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), hari ini.
Anwar berkata demikian mengulas soalan yang ditujukan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang minta Anwar menyatakan apakah penjelasan kerajaan berkenaan kewujudan titah adendum yang berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 pada 29 Januari 2024 yang melibatkan permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta orang ramai supaya menghormati prosiding mahkamah yang sedang berlangsung berkaitan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Dalam satu kenyataan tersebut, AGC berkata, Mahkamah Rayuan telah menetapkan pendengaran berlangsung pada 6 Januari tahun depan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau hanya boleh membuat sebarang komen selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadli Shaari (PN-Pasir Mas), Anwar berkata, beliau juga terikat kepada perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Adendum kena tunggu 6 Januari, apa yang tidak sabar sangat. Saya tidka mahu komen betul atau tidak, saya tidak mahu komen. Tapi memang betul tidak dihantar kepada saya, dan tidak diberitahu dan tidak ada penjelasan kepada saya.
“Tidak semestinya begitu, kerana dia mesti melalui Lembaga Pengampunan dan saya bukan ahlinya. Ada yang dakwa saya buat tidak tahu, saya tahu faktanya.
“Saya tegaskan kalau nak bangkitkan (titah) adendum dan surat, tidak ada sesiapa yang pertikai sahih atau tidak, biar mahkamah yang putuskan, biar kita dedahkan termasuk siapa yang masukkan agenda berkenaan dan kena ingat ini hanya boleh dilakukan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan setelah dikecualikan dari Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan saya setuju supaya boleh memadamkan tohmahan kepada Peguan Negara dan kerajaan,” jelas Anwar lagi.
Malah, Anwar juga berkata, beliau turut membawa kepada pertimbangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk baginda merujuk kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Sebagai orang yang memenuhi tanggungjawab, saya lakukan kerana bagi saya sesiapa pun layak untuk diberikan pertimbangan sama ada menilai soal dan nilai hukuman dijatuhkan ataupun pertimbangan ‘fountain of mercy’ YDPA.
“Kalau lihat keputusan Lembaga Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong pertimbang semua,” katanya lagi.
Anwar juga berkata, perkara tersebut juga ada dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Sultan Ibrahim di Johor Bharu, semalam.
Sebelum ini, anak Najib, Datuk Mohd Nizar memfailkan afidavit yang mendakwa Sultan Pahang yang juga bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah memberitahunya mengenai kewujudan titah tambahan berkenaan.
Dalam catatan di Facebooknya, Mohd Nizar juga menggesa kerajaan supaya berterus-terang mengenai titah berkenaan atau berdepan hukuman rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette
















