Murad memeluk petugas Penjara Kajang sebelum meninggalkan kawasan itu selepas diberi pengampunan oleh Sultan Selangor.

KAJANG – Seorang banduan, Murad (bukan nama sebenar) hari ini dibebaskan setelah diberikan pengampunan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan baginda pada hari ini.

Murad yang telah menjalani hukuman dari tahun 2001 semasa berusia 14 tahun menjalani hukuman sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.

Untuk makluman, Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara Malaysia yang bergelar Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan setelah menyambung pelajaran semasa menjalani hukuman pemenjaraan.

Semasa proses pembebasan Murad tadi, suasana gembira dan hiba jelas terpancar di wajahnya setelah dibacakan waran pembebasan oleh Pengarah Penjara Kajang, TKP Preshahdin Monshee.

TKP Preshahdin dalam sesi pembebasan Murad juga menasihatkan agar lelaki itu sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi serta menggunakan ilmu yang ada dalam memajukan diri selepas dibebaskan.

Malah, kata Preshahdin, pihak Jabatan Penjara sedia membantu sekiranya Murad memerlukan bantuan

Dalam sesi tersebut juga, Murad menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di atas pengampunannya serta tidak dilupakan terutamanya Jabatan Penjara Malaysia kerana memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk menyambung pengajian sehinggalah bergelar Doktor Falsafah.

Tambahan Murad, segala jasa baik dari Jabatan Penjara akan sentiasa dikenang dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya agar dikembalikan dengan lebih sempurna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast